Apakah itu Shooting Star?
Shooting Star ialah pola candlestick bearish yang kuat yang biasanya terbentuk pada penghujung trend menaik yang berpanjangan dan sebelum berlakunya penyongsangan menjadi trend menurun.
Pola ini terdiri daripada satu candlestick, tetapi yang unik tentangnya ialah badannya: candlestick Shooting Star mempunyai badan sebenar yang kecil berhampiran paras terendah pada hari tersebut. Ini berlaku kerana harga aset ditutup berhampiran dengan harga pembukaannya, yang menunjukkan bahawa bull tidak berjaya menolak harga lebih tinggi dalam tempoh sehari.
Pada masa yang sama, sumbu bahagian atas candlestick Shooting Star sangat panjang, iaitu sekurang-kurangnya dua kali panjang badannya. Sumbu bawah hampir tidak kelihatan, kadangkala tidak wujud, jadi bahagian yang paling dikenali dalam pola ini ialah sumbu atasnya yang panjang.

Apakah maksud di sebalik pola Shooting Star?
Pola Shooting Star biasanya terbentuk selepas satu trend menaik yang stabil dan berpanjangan, selalunya selepas sekurang-kurangnya tiga candlestick bullish berturut-turut. Ia juga boleh muncul selepas beberapa candlestick bearish, dengan syarat pergerakan harga keseluruhan mempunyai kecenderungan bullish yang kuat.
Badan yang kecil dan sumbu yang panjang pada Shooting Star menunjukkan bahawa bull yang telah mendominasi pasaran cuba menaikkan harga lebih tinggi apabila hari perdagangan bermula. Tetapi harga yang lebih tinggi dengan pantas menarik penyertaan lebih ramai bears, yang seterusnya menarik harga ke bawah semula, hampir mencecah harga pembukaan.
Pola ini menunjukkan bahawa bull mungkin kehilangan penguasaannya di pasaran dan menandakan potensi peralihan sentimen pasaran daripada bullish kepada bearish. Tekanan beli menyerah kepada kuasa tekanan jual, yang memberi para trader petanda bahawa trend menaik semasa mungkin sudah melemah dan berpotensi menunjukkan pullback yang ketara atau penyongsangan trend bakal tiba.
Pola ini dianggap sahih jika candlestick selepasnya adalah bearish dan ditutup lebih rendah. Sumbu atas candlestick yang seterusnya hendaklah lebih pendek daripada paras tertinggi Shooting Star. Jika benar, maka terdapat peluang yang sangat tinggi bahawa bear telah berjaya mengambil alih pasaran, jadi para trader boleh cuba menggunakan peluang ini untuk membuka pesanan jual.
Cara untuk trade dengan Shooting Star
Untuk memanfaatkan sepenuhnya pola Shooting Star, pertimbangkan langkah-langkah berikut:
Kenal pasti trend menaik. Shooting Star lebih andal (reliable) jika ia muncul semasa trend menaik yang berpanjangan. Walaupun harga tidak pernah bergerak dalam garis lurus, setiap puncak dan lembah yang silih berganti adalah lebih tinggi daripada yang sebelumnya. Untuk mengenal pasti trend menaik, cari siri titik tertinggi yang lebih tinggi dan titik terendah yang lebih tinggi yang menunjukkan trajektori menaik yang jelas.
Cari pola Shooting Star. Imbas carta untuk mencari candlestick dengan badan yang kecil berhampiran titik rendah hari tersebut, sumbu atas yang panjang sekurang-kurangnya dua kali panjang badan dan sumbu bawah yang pendek.
Sahkan dengan indikator tambahan. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih lengkap tentang kemungkinan penyongsangan, gunakan indikator analisis teknikal. Dengannya, anda boleh mengukur parameter-parameter lain bagi aksi harga semasa, seperti arah trend, volum urusniaga, momentum harga, aras sokongan/rintangan, dsb. Jika indikator-indikator lain memberikan signal penyongsangan yang kuat, anda mempunyai lebih banyak sebab untuk mempercayai bahawa pola Shooting Star akan membawa kepada perubahan arah pergerakan harga.
Rancang urusniaga anda. Mengesan sebarang pola carta memberi anda peluang unik untuk merancang titik masuk dan keluar anda. Sebaik sahaja Shooting Star disahkan, anda boleh memilih titik masuk pada aras harga di mana pengesahan telah berlaku, set pesanan renti rugi di atas sumbu atas untuk mengurus risiko dan menentukan sasaran keuntungan berdasarkan strategi trading anda dan nisbah risiko-ganjaran.