
Dalam trading, beberapa signal adalah kuat dan jelas. Signal yang lain lebih halus, seperti jeda dalam perbualan, tempoh senyap yang seringkali lebih nyaring berbanding kata-kata. Gravestone Doji tergolong dalam kategori yang kedua itu.
Ia hanyalah sebatang candlestick, tetapi ia boleh memberikan kita signal bisu bahawa momentum bullish semakin memudar dan penyongsangan mungkin akan berlaku. Bagi trader yang tahu cara membacanya, pola ini boleh memberikan amaran yang berharga.
Apakah itu Gravestone Doji
Gravestone Doji adalah salah satu pola yang boleh membisikkan kepada kita petunjuk tentang suatu masalah selepas bullish run. Ia cenderung muncul berhampiran bahagian atas trend menaik dan menunjukkan bahawa pembeli mungkin sudah kelelahan.
Ia mudah untuk anda cam menerusi bentuknya: sumbu atas yang panjang dan tubuh kecil (atau tiada tubuh langsung) yang terletak di bahagian bawah. Harga buka, paras terendah, dan harga tutup semuanya hampir sama, yang memberikan candlestick ini bahagian bawah yang rata, seperti huruf T terbalik.
Namun ada kisah di sebalik itu dan itulah yang ia cuba untuk beritahu kepada kita: pembeli berjaya menolak harga naik dengan ketara sepanjang sesi, tetapi tidak dapat mempertahankannya. Menjelang waktu penutupan, para penjual telah menghapuskan kenaikan tersebut sepenuhnya, membawa harga kembali jatuh semula. Penolakan sebegitu di peringkat atas sering menandakan perubahan mood.
Rangka masa terbaik untuk ditonton
Gravestone Doji boleh muncul pada hampir mana-mana carta, sama ada anda melihat candlestick satu minit atau mengimbas aksi harga bulanan. Tetapi ketahuilah: tidak semua kemunculannya membawa maksud yang sama.
Pada rangka masa pendek, seperti carta 5-minit, ia mungkin hanya hingar bingar pasaran. Mungkin pasaran teragak-agak buat seketika, atau mungkin terdapat reaksi pantas terhadap sesuatu berita kecil, dan tiba-tiba anda diperlihatkan dengan candlestick Gravestone. Walau bagaimanapun, hakikatnya, ia mungkin tidak signifikan. Harga memang cenderung bergerak dengan tidak lancar pada carta-carta pantas seperti ini, dan jika pola-pola ini ditafsir dengan terlalu harfiah anda boleh terpesong.
Jika anda melihat pola yang sama pada carta harian atau mingguan, nah, itu kisah yang berbeza. Ini mula menjadi lebih penting. Anda sedang melihat tingkah laku harga secara lebih meluas, dan signal seperti itu boleh menjadi petunjuk bahawa Momentum sedang memperlahan, terutamanya jika ia muncul selepas satu pergerakan menaik yang kuat dan cukup dekat dengan kawasan rintangan yang pernah dipertahankan sebelum ini.
Cara mengenal pasti Gravestone Doji pada carta
Anda tidak memerlukan indikator yang canggih dan ranggi untuk mengenal pasti Gravestone Doji. Anda hanya perlu tahu apa yang perlu dicari:
Harga buka, paras terendah, dan tutup semuanya hampir sama, menghasilkan bahagian bawah yang rata.
Sumbu atasnya panjang, menunjukkan bahawa harga telah ditekan naik dalam sesi berkenaan.
Sumbu bawahnya sangat kontot atau tidak wujud sama sekali.